mutakhir

Terjun laut elak ditahan

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

DUA kru bot nelayan tempatan termasuk tekong nekad terjun ke laut bagi mengelak ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana disyaki melanggar syarat lesen, semalam.

Bot kelas A itu dikesan 0.6 batu nautika barat daya kuala Sungai Rungkup dekat Bagan Datuk, pada 9.30 pagi.

Difahamkan, dua lelaki berkenaan dikatakan berenang ke pantai berhampiran dan kemudian gagal dikesan dipercayai melarikan diri.

Identiti dan warganegara mereka juga tidak dapat dikenal pasti dan bot yang ditinggalkan itu kemudian dibawa pulang ke jeti oleh anggota APMM.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, bot nelayan berkenaan dikesan sepasukan anggota Bot Petir yang sedang melakukan rondaan di perairan negara.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan sudah diubah suai bagi membolehkan bot itu menggunakan pukat tunda untuk menangkap ikan.

"Kejadian berlaku ketika Bot Petir agensi ini yang sedang melakukan rondaan cuba mendekati bot nelayan tempatan yang melakukan aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat tunda.

"Kes akan disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan bot berkenaan dibawa ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan di Lumut, malam tadi.

Dalam pada itu, Wan Mat berkata, pihaknya juga sering menerima aduan daripada nelayan pantai membabitkan kegiatan pukat tunda oleh bot kelas C yang dikhuatiri akan menjejaskan pendapatan mereka.

Katanya, APMM meminta nelayan terbabit untuk menghentikan aktiviti yang tidak bertanggungjawab yang merosakkan sumber marin dan menyusahkan nelayan tradisional.

Beliau juga meminta nelayan untuk terus bekerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat membabitkan bot nelayan yang melanggar syarat lesen menangkap ikan dan melakukan pencerobohan di zon tangkapan ikan di dalam perairan negara.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 9:07am
d