mutakhir

Gigi rosak boleh jadi punca kemurungan

Oleh Ifwan Tun Tuah

MASALAH kerosakan gigi perlu diambil serius masyarakat terutama ibu bapa kerana berisiko menjadi penyumbang kemurungan dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Pengerusi Persekutuan Bebas Kaviti Masa Depan (ACFF) Malaysia, Profesor Dr Rahimah Abdul Kadir berkata, kerosakan gigi boleh menjejaskan keyakinan untuk berinteraksi, seterusnya membuatkan seseorang individu menyendiri.

"Gigi jelas kelihatan kerana terletak pada muka, malah kerosakan atau kehilangan gigi turut mempengaruhi bentuk wajah. Seseorang individu mudah terdorong untuk rasa rendah diri kerana memikirkan senyumannya tidak cantik.

"Akibatnya, dia malu berhadapan dengan orang lain dan berasa tersisih, seterusnya menjadi murung. Keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja terutama kanak-kanak dan remaja," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Kempen Kanak-Kanak Bebas Kaviti di Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan di Seremban, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Ahamad Jusoh.

Rahimah berkata, ibu bapa perlu memberi perhatian kepada masalah pergigian di peringkat awal kanak-kanak dengan memastikan mereka mencegah karies dan kaviti gigi melalui amalan penjagaan kesihatan mulut yang baik.

Beliau berkata, cara pencegahan yang berkesan adalah dengan memastikan plak atau tahi gigi yang mengandungi bakteria yang menjadi punca karies dibersihkan dengan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Katanya, karies dan kaviti gigi yang tidak diuruskan dengan baik ketika kanak-kanak akan berlarutan dan menjadi lebih serius apabila mereka meningkat remaja serta dewasa.

Statistik menunjukkan karies menjadi masalah pergigian utama dengan 60 hingga 90 peratus kanak-kanak seluruh dunia menghadapinya, malah antara 90 hingga 97 peratus orang dewasa di Malaysia mengalami kerosakan gigi manakala remaja (70 peratus).

Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Perkhidmatan Pergigian Kementerian Kesihatan untuk mengadakan kempen Kanak-Kanak Bebas Kaviti dalam usaha membentuk generasi Malaysia bebas karies dan kaviti pada 2026.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 1:22pm
d