mutakhir

Hukuman mati masih ada - PM

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan hukuman mati mandatori di negara ini masih kekal dan belum dimansuhkan.

DR Mahathir berkata, walaupun ada cadangan untuk memansuhkan hukuman itu, ia tidak bermaksud hukuman berkenaan sudah dihapuskan.

"Kita perlu menunggu sehingga akta berkaitan diluluskan. Kerajaan belum meluluskan undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Minggu lalu, Kabinet memutuskan yang pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan akan dimansuhkan di negara ini.

Susulan itu, semua pelaksanaan hukuman mati akan ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.

Kabinet seterusnya menimbang mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun jika hukuman mati mandatori dimansuhkan.

Ketika ini ada 18 kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman mati, termasuk mengedar dadah, melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, keganasan, membunuh, membunuh mangsa ketika penculikan, memiliki dan menggunakan senjata api, merogol sehingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Pada masa ini 1,267 banduan berdepan hukuman mati di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan membebaskan 11 etnik Uighur yang menyusup masuk ke negara ini sejak November tahun lalu selepas didapati tidak melakukan sebarang kesalahan dalam negara.

"Mereka tidak melakukan kesalahan di negara ini, maka mereka dibebaskan," katanya.

November tahun lalu, 25 tahanan etnik Uighur di Thailand melarikan diri dengan menggunakan selimut untuk memanjat keluar daripada penjara.

Hanya 11 orang melarikan diri sehingga ke kawasan pedalaman di negara ini melalui sempadan Malaysia serta Selatan Thailand.

China sebelum ini mendesak Malaysia menghantar pulang 11 etnik Uighur itu.

Kesemua dakwaan terjadap 11 etnik Uighur digugurkan atas budi bicara pihak pendakwa raya dan mereka kini berada di Turki sejak Jumaat lalu.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 1:38pm
d