mutakhir

Padah bunuh wanita berpantang [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

PENGAWAL keselamatan menerima balasan setimpal apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, Shah Alam, hari ini, kerana membunuh wanita berpantang pada Mac tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Mohd Azmirul Shamsuddin, 39, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah bagi kes berkenaan.

Dalam penghakimannya, Mohd Azman berkata, pembelaan yang dilakukan oleh tertuduh hanya bersifat penafian semata-mata.

“Justeru itu, mahkamah tiada mempunyai pilihan kecuali menjatuhkan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja di kilang elektronik didakwa membunuh Rabiatul Adawiah, 24, di Pangsapuri Mentari Court, Sungai Way, Petaling Jaya, pada 8.22 malam, 4 Mac 2015.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tertuduh diwakili peguam Halim Ashgar Mohd Hilmi dan pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim.

Pada 14 September lalu, Mohd Azman memerintahkan tertuduh membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Berdasarkan hujahan pihak pendakwaan, asid deosiribonukleik (DNA) tertuduh ditemui pada lampin bayi yang digunakan bagi menutup mulut mangsa.

Media sebelum ini melaporkan mangsa ditemui dalam keadaan separuh bogel dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat bersama bayi perempuannya berusia sebulan setengah yang tidur di sisinya.

Kejadian itu disedari suami mangsa yang baru pulang bekerja selepas mendapati pintu rumah berkunci dari dalam.

Beliau sebelum itu terpaksa memecahkan pintu rumah selepas gagal dibuka dengan kunci malah panggilannya turut tidak dijawab.

Proses bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat mangsa mendapati wanita itu meninggal dunia kerana lemas.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 2:24pm
d