mutakhir

Penunggang motosikal 'hilang' dicari... [METROTV]

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

KES kemalangan membabitkan lori kontena, treler, lori dan kereta di Kilometer 14.5 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) yang mengakibatkan dua maut, Jumaat lalu menimbulkan misteri apabila sebuah motosikal ditemui dalam keadaan enjin masih hidup di lokasi kejadian.

Ini berikutan penunggang motosikal itu Amir Hamzah Mohd Rozali, 23, gagal dikesan sehingga ke hari ini sekali gus dikhuatiri turut menjadi mangsa kemalangan tragis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, maklumat penemuan motosikal itu dimaklumkan kepada abang lelaki itu yang kemudian membuat laporan polis.

Menurutnya, menerusi siasatan dijalankan, lelaki itu yang menunggang Yamaha LC135 berwarna merah dipercayai berhenti untuk membantu mangsa kemalangan apabila sebuah treler membawa muatan kampit simen terbabas sebelum terbalik merentangi lorong tengah serta lorong kanan lebuh raya dalam kejadian jam 4.40 pagi itu.

“Lelaki itu dipercayai hilang selepas kemalangan kedua berlaku dalam beberapa minit kemudian apabila sebuah lori kontena merempuh sebuah lagi lori yang kemudian menghimpit sebuah kereta Honda Civic.

“Kejadian itu dilihat oleh dua lelaki yang kemudian menemui helmet dipakai mangsa dalam keadaan pecah di atas jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zani berkata, abang mangsa yang menerima maklumat mengenai penemuan motosikal adiknya, semalam kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebelum menemui beg pinggang mangsa di bawah jambatan jam 10.30 pagi.

“Bertindak atas penemuan itu, bermula semalam, operasi mencari mangsa yang dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Kayu Ara dengan bantuan bomba dan unit anjing pengesan giat dijalankan.

“Malah, usaha mencari mangsa juga dibuat di lokasi simen dibuang, namun tidak menemui apa-apa termasuk petunjuk yang boleh dikaitkan dengan kehilangan mangsa,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara Ramli Harun berkata, operasi mencari bermula semalam mengenai lelaki yang dikhuatiri terjatuh ketika kemalangan berlaku.

“Operasi pencarian yang dilakukan sejak semalam di lokasi kejadian di tebing sungai sepanjang dua kilometer itu tidak menemui sebarang petunjuk yang dapat dikaitkan dengan misteri kehilangan lelaki terbabit.

“Justeru, kita meluaskan radius pencarian membabitkan 13 anggota dari BBP Damansara danenam dari BBP Petaling Jaya selain dibantu lima anggota K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan dua anjing pengesan, hari ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 5:26pm
d