mutakhir

Ketulan besi bawa maut

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

KETULAN besi segi empat di atas jalan dipercayai menjadi punca lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 17.1 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) arah selatan berhampiran Petaling Jaya, hari ini.

Dalam kejadian 12.05 tengah hari itu, mangsa, Wan Mohd Hambali Wan Ibrahim, 29, disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari'at berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat motosikal ditunggang mangsa terbabas di lokasi kejadian.

"Kemalangan itu dipercayai berpunca akibat mangsa tidak sempat mengelak satu ketulan besi berbentuk segi empat yang berada di atas jalan menyebabkan dia terbabas.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pleh pasukan perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," katanya dalam satu kenyataan, di Petaling Jaya, hari ini.

Azman berkata, mayat mangsa yang bertugas di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dibawa ke PPUM untuk bedah siasat.

"Siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan dan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

- ends

Keterangan gambar:

1. MANGSA, Wan Mohd Hambali Wan Ibrahim, 29, disahkan maut di lokasi kejadian selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 17.1 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) arah selatan, Petaling Jaya, hari ini.

From: No'Rule

Disiarkan pada: October 15, 2018 @ 7:23pm
d