mutakhir

Janji pulangan 10 kali ganda

Oleh Faris Fuad

Petaling Jaya: Dibenarkan bertaruh judi bola golek serendah 50 sen dan dijanjikan pulangan 10 kali ganda daripada nilai pertaruhan.

Kegiatan judi dilakukan di tapak pembinaan kondominium, di Jalan PJS3/1 Taman Medan itu bagaimanapun digempur Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, pihaknya menahan dua penganjur lelaki tempatan, enam pemain lelaki Indonesia dan seorang lelaki Bangladesh menerusi Ops Judi Bola Golek, jam 8.30 malam.

Katanya, pihaknya turut merampas bahan bukti termasuk satu papan pertaruhan, empat bola getah, tiga alat penimbang, empat bongkah kayu dan wang tunai berjumlah RM1,470 bagi membantu siasatan.

“Operasi berjalan dengan baik. Semua individu ditangkap dan rampasan dibawa balik ke balai polis untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7 (2) Akta Pertaruhan dan Seksyen 6 (1) Imigresen,” katanya, semalam.

Dalam serbuan berasingan pada hari sama, Khaizam berkata, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan selepas mendapati terdapat beberapa tatu di badannya yang melambangkan sebuah kumpulan samseng dikenali sebagai Geng 21.

Katanya, lelaki berusia 38 tahun itu diberkas menerusi Ops Cantas 100 meter dari lokasi serbuan pertama pada jam 8.45 malam.

“Lelaki itu mengaku terbabit dengan geng itu. Polis juga dapati Geng 21 memungut wang perlindungan setiap bulan untuk menjaga beberapa lokasi sekitar tapak pembinaan di sini yang menjalankan aktiviti judi.

“Geng itu akan mengawal dan memantau pihak berkuasa serta ancaman berkaitan, manakala aktiviti itu dikatakan mengaut keuntungan ribuan ringgit setiap hari,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 11:15am
d