mutakhir

Tiada SOP SAR parit monsun- Zuraida

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika ini tiada sebarang prosedur operasi standard (SOP) yang jelas dan tepat bagi menjalankan misi menyelamat membabitkan kawasan parit monsun.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, yang mengakui perkara itu berkata kelemahan aspek perancangan dan penyediaan garis panduan berkenaan mengundang risiko dalam kalangan pasukan JBPM.

"Kes tempoh hari, membabitkan parit monsun, kita belum ada SOP yang jelas dan tepat, justeru beri masa sedikit untuk kaji beberapa aspek jika (anggota JBPM) mendapat laporan insiden lemas dan keperluan untuk mencari mangsa di kawasan berkenaan.

"Masa mencukupi ini perlu diberikan bagi membolehkan mereka mengetahui apa bentuk kawasan menyelamat dan jenis struktur di bawahnya supaya ia dijadikan maklumat tambahan serta rujukan.

"Jenis butiran seperti ini penting supaya mereka (anggota JBPM) lebih berhati-hatii ketika menjalankan operasi," katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Annuar Musa (BN UMNO-Ketereh) pada waktu pertanyaan menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Annuar meminta kementerian mengulas kenyataan supaya JBPM mendapatkan pelan struktur sebelum menjalankan misi menyelamat, selain keperluan untuk menyemak elaun kritikal agensi itu yang disifatkan tidak pernah dikaji semula sebelum ini.

Pada 4 Oktober lalu, tragedi hitam membabitkan enam penyelam bomba lemas, angkara terperangkap dalam pusaran air ketika mencari remaja yang dilaporkan terjatuh ke sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong mengundang hiba rakyat Malaysia.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, usul untuk menyemak semula elaun kritikal anggota JBPM kini dalam penelitian Kabinet, justeru pihaknya berharap pertimbangan sewajarnya berupaya diberikan selaras cabaran dialami agensi itu sepanjang menjalankan tugas harian.

"Bomba buat kerja yang sangat berisiko tinggi seperti operasi mangsa tersepit dalam lif, bunuh diri, dan terbakar. Oleh itu, saya merayu supaya Kabinet pertimbangkan permintaan untuk elaun kritikal mereka dikaji semula serta ditingkatkan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Steven Choong Shiau Yoon (PH PKR-Tebrau) mengenai langkah kerajaan membantu waris keluarga, Zuraida berkata, segala aspek, termasuk pembiayaan meneruskan kehidupan dan aspek pendidikan anak mangsa ketika ini diambil berat.

Beliau berkata, kerajaan menerusi mesyuarat Kabinet bersetuju untuk memberikan RM20,000 kepada setiap keluarga mangsa dan tambahan RM20,000 yang disalurkan Kerajaan Selangor bagi menampung kehidupan mereka.

"Masih ada pampasan insuran yang ketika ini dalam semakan, selain kita meneliti penjagaan aspek penempatan waris keluarga kerana tiga daripada enam mangsa ialah keluarga muda.

"Anak mereka masih kecil, justeru kita akan lihat bagaimana kerajaan boleh membantu dalam aspek penjagaan kebajikan keluarga," katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 2:17pm
d