mutakhir

Ahli Parlimen antara dikompaun merokok di Parlimen

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

SEJAK Kompleks Parlimen diwartakan sebagai kawasan larangan merokok bermula semalam, lapan kompaun dikeluarkan sehingga hari ini termasuk terhadap seorang Ahli Parlimen.

Ketua Sektor Kawalan Tembakau Kementerian Kesihatan Mal;aysia (KKM) Dr Ariana Hassan berkata, kesemua kompaun itu dikeluarkan pegawai kesihatan, semalam.

“Semalam hari pertama kita keluarkan lapan kompaun kesalahan, pagi (hari) ini belum ada lagi.

“Kami pantau di ketiga-tiga zon merokok yang ditetapkan sebelum ini sepanjang Parlimen bersidang,” katanya ketika ditemui di luar bilik merokok di Parlimen, hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bangunan Parlimen diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok termasuk sudut merokok di tepi Dewan Rakyat dan di kafetaria.

Katanya, langkah itu dilaksanakan sebagai komitmen kerajaan mahu menjadikan keseluruhan kawasan Parlimen sebagai bebas merokok.

Berdasarkan peraturan itu, perokok terpaksa berjalan kira-kira 300 meter ke pintu masuk untuk keluar daripada kompleks Parlimen jika mahu merokok.

Mereka yang melanggar peraturan boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM500 dan jika gagal dijelaskan boleh dikenakan denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara tidak lebih dua bulan atau kedua-duanya.

Kesalahan ini tertakluk di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 3:37pm
d