mutakhir

Minta kaji semula kawasan larangan merokok

Oleh Farah Suhaidah Othman

PERSATUAN Penjaja dan Peniaga Kecil Negeri Perak meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempertimbangkan semula penguat kuasaan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan bermula 1 Januari ini.

Yang Dipertuanya Asmadi Teh berkata, tindakan KKM itu disifatkan sebagai tidak bersesuaian berikutan perkara terbabit boleh menjejaskan pengusaha yang berniaga di kawasan awam.

Justeru, katanya pihaknya meminta kementerian itu memperhalusi semula keputusan berkenaan termasuk menyediakan kawasan khas kepada individu yang merokok di premsi terbabit.

“Jika perkara itu (larangan merokok) dilaksanakan, ia akan menjejaskan pengusaha untuk berniaga di kawasan awam dan kita lihat kebanyakan pelanggan terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Kita cadangkan jika kawasan berkenaan dibenarkan untuk merokok, mereka perlu diberikan kawasan (ruangan) khas untuk merokok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Kali ke-17 persatuan berkenaan di Ipoh, hari ini.

Turut hadir, Presiden Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia Datuk Ramli Norani yang merasmikan mesyuarat berkenaan.

Sementara itu, Asmadi berkata, pihaknya turut meminta kerajaan baharu meneruskan bantuan dana kepada penjaja dan peniaga kecil dalam pembentangan Bbajet 2019 kelak.

“Jika tidak diberi peluang untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan, kita bimbang peniaga kecil akan menghadapi masalah kerana ia adalah keperluan bagi menjana pendapatan peniaga berkenaan.

“Antara bentuk bantuan yang diberikan dalam pembentangan bajet terdahulu adalah bantuan peniaga untuk berniaga di bazar Ramadan, peruntukan RM1,000 hingga RM5,000 menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (kini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), jadi kita rasa perkara itu perlu diteruskan,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 5:14pm
d