mutakhir

Representasi gugur 5 pertuduhan jenayah Farid Kamil ditolak

Oleh Sarah Zulkifli

PEJABAT Peguam Negara, hari ini menolak representasi dikemukakan oleh pelakon dan pengarah Datuk Farid Kamil Zahari bagi menggugurkan lima pertuduhan kes jenayah yang dihadapinya, awal tahun ini.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Firdaous Mohamed Idris kepada Majistret Nor Ariffin Hisham dalam prosiding di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini.

Berikutan keputusan itu, mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini selama lima hari bermula 27 November depan.

Sementara itu, Farid Kamil ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata, beliau akan menghantar representasi kedua secepat mungkin.

“Kita terima keputusan yang ditetapkan dan perbincangan akan dilakukan seterusnya bersama peguam saya untuk mengemukakan representasi kali kedua,” katanya.

Dalam prosiding itu, pelakon utama Lagenda Budak Setan berkenaan diwakili peguam Wan Shahril Wan Mamat.

Pada 16 Januari lalu, Farid berdepan empat pertuduhan iaitu mendatangkan kecederaan kepada seorang orang awam dan anggota polis, menghalang anggota polis menjalankan tugas dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kesat di kaunter pertanyaan Balai Polis Trafik Kota Damansara jam 1.20 petang, 11 Januari lalu.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 4.30 petang pada hari sama.

Sementara itu, pada 9 Mac lalu, Farid Kamil didakwa sekali lagi atas pertuduhan mereka keterangan palsu bersabit sebuah laporan polis dengan memasukkan keterangan tidak benar yang mana laporan itu boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil pertimbangan oleh pegawai polis yang menerima laporan itu.

Pengarah filem V3 Samseng Jalanan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur jam 5.54 petang, 31 Januari lalu.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 6:09pm
d