mutakhir

Lelaki dera anak tiri ditahan

Oleh Suzalina Halid

BAYI lelaki warga Myanmar berusia 15 bulan cedera didera bapa tirinya apabila dipukul menggunakan kabel selain menghantuk kepalanya ke dinding di rumah di Kampung Perak, Alor Setar, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kejadian disedari ibu mangsa berusia 30-an sebelum dia tampil membuat laporan polis.

Katanya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di badan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menerima rawatan lanjut.

“Tidak sanggup melihat anaknya dipukul dengan kabel selain dihantukkan kepala ke dinding, ibu mangsa terus tampil membuat laporan polis.

“Polis kemudian menahan suspek yang juga warga Myanmar berusia 30-an untuk membantu siasatan, ” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek direman tujuh hari hingga esok untuk membantu siasatan mengikut 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Mangsa yang masih menerima rawatan di HSB dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 6:24pm
d