mutakhir

Batal sijil perakuan agama Islam dua anak

Oleh Murni Wan Omar

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan seorang bapa beragama Buddha untuk membatalkan sijil perakuan agama Islam dua anak yang dibuat bekas isterinya.

Hakim Datuk Azizah Nawawi dalam keputusannya membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh bapa berusia 46 tahun yang mencabar penukaran agama anak perempuannya yang berusia 10 tahun dan anak lelaki berusia lima tahun.

Beliau berkata, mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini iaitu dalam keputusan kes M Indira Gandhi.

Malah katanya, tiada pertikaian kerana penukaran agama kanak-kanak itu dibuat tanpa kebenaran ibu dan bapa.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan nama kedua-dua kanak-kanak itu dikeluarkan daripada senarai Pendaftar Mualaf Wilayah Persekutuan.

Tiada perintah berhubung kos.

Mahkamah tidak membenarkan nama kedua ibu bapa dan dua kanak-kanak itu didedahkan kepada umum.

Bapa diwakili peguam K Shanmuga manakala ibu kanak-kanak itu yang berusia 42 tahun diwakili peguam Rohani Ibrahim dan Zulkifli Che Yong.

Pada 14 Jun 2016, lelaki itu (bapa) memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mendapatkan perintah certiorari supaya kad perakuan masuk Islam bagi dua anaknya dibatalkan serta-merta.

Dalam permohonan itu, beliau menamakan Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia, Pendaftar Muallaf Wilayah Persekutuan, Ketua Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan dan ibu kanak-kanak itu sebagai responden.

Antara lain lelaki itu turut memohon perintah mandamus supaya Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Pendaftar Mualaf membatalkan serta-merta pendaftaran kedua-dua anaknya sebagai mualaf dalam rekod daftar mualaf.

Pasangan itu berkahwin pada 23 Disember 2006 sebelum memfailkan petisyen perceraian pada 11 Mei 2016 di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Bekas isterinya sudah memeluk agama Islam pada 29 Disember 2015 sebelum menukar agama anak-anaknya di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan pada 11 Mei 2016.

Pada 29 Januari lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama tiga anak guru tadika, M Indira Gandhi hampir 10 tahun lalu kepada Islam adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang.

Disiarkan pada: October 16, 2018 @ 6:48pm
d