mutakhir

Pegawai bomba disyaki rasuah

Oleh Faliq Lajim

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas dipercayai meminta dan menerima suapan sebanyak RM1,000.

Menurut sumber, lelaki berusia 58 tahun itu ditahan pada 7.35 malam tadi di Kapar.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek meminta suapan RM1,000 daripada pemilik kilang plastik sebagai dorongan bagi meluluskan pemeriksaan keselamatan di kilang tersebut.

Katanya, lelaki berkenaan bersama seorang lagi pegawai datang ke kilang berkenaan bagi pemeriksaan keselamatan.

"Seorang daripada dua pegawai bomba itu kemudian dikatakan meminta dan menerima suapan berjumlah RM1,000.00 sebagai dorongan untuk meluluskan pemeriksaan keselamatan yang dilakukan," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Difahamkan, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman hari ini.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 8:26am
d