mutakhir

Lempar bom pasir [METROTV]

Oleh Ibrahim Isa

JOHOR BAHRU:Anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) cedera di mata selepas terkena bom pasir buatan sendiri yang dilemparkan penyeludup rokok dari negara jiran, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.13 pagi, Laskar Kanan Maritim Abd Hamid Shaaban, 38, cedera ringan ketika dia bersama enam anggota dan pegawai mengejar bot pancung yang dipercayai cuba memasuki perairan negara.

Pengarah APMM (Johor), Datuk Abu Bakar Idris berkata, terdahulu Pusat Pengawasan Laut Tanjung Piai (ACC Tanjung Piai) mengesan objek mencurigakan bergerak masuk ke perairan negara.

Berikutan itu, katanya, satu bot ronda membabitkan enam anggota serta pegawai dikejarkan ke lokasi dan menemui satu bot pancung dari negara jiran cuba memasuki Malaysia.

“Anggota kami mengejar bot pancung berkenaan hingga ke pesisir pantai di kedudukan 2.29 batu nautika utara Pulau Kukup.

“Apabila menghampiri hutan bakau, seorang daripada tiga lelaki itu melemparkan objek dipercayai bom pasir buatan sendiri sebelum ia meletup berhampiran muka seorang anggota.

“Akibatnya, mata anggota terbabit cedera, pada masa sama tiga lelaki dipercayai tekong dan dua awak-awak warga asing terjun ke pantai untuk melarikan diri ke dalam hutan bakau meninggalkan bot pancung,” katanya pada sidang media di jeti APMM Sungai Pulai, Gelang Patah, di sini, semalam.

Menurutnya, anggota yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Pontian sebagai pesakit luar.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot pancung itu menemui 136 karton rokok di dalam 19 guni dan 13 kotak besar pelbagai rokok putih dan kretek.

Abu Bakar berkata, siasatan mendapati penyeludup berkenaan cuba membawa masuk rokok mewah jenama DJI Sam Soe Super Premium, Gudang Garam Surya dan Marlboro dengan rampasan bernilai RM300,000.

“Bot pancung tidak berdaftar dengan dua enjin 200 kuasa kuda serta semua rokok dibawa ke pejabat APMM Johor untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 8:42am
d