mutakhir

Wakaf ilmiah [METROTV]

Oleh Mohd Fahmi Mohd Yusof

ISKANDAR PUTERI: Program sumbangan Wakaf BH-Forest City diteruskan pada tahun ini dengan menjadikan Sekolah Kebangsaan (SK) Ladang Pendas di sini, sebagai penerima sebuah unit wakaf sebagai satu program kemasyarakatan pendidikan untuk komuniti setempat.

Majlis penyerahan disempurnakan Pengarang Eksekutif BH Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman bersama Timbalan Pengarah Urusan Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) Syarul Izam Sarifudin.

Lebih menarik, SK Ladang Pendas adalah satu-satunya sekolah yang menempatkan kanak-kanak Orang Asli dari kawasan sekitar terbabit dalam program sumbangan Wakaf BH-Forest City.

Ahmad Zaini berkata, Wakaf BH-Forest City adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dianjurkan The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) dan CGPV, pemaju projek Forest City.

Menurutnya, program yang bermula tahun lalu itu sempena ulang tahun ke-60 BH dan sebanyak tujuh sekolah secara keseluruhan terbabit pada program berkenaan di mana lima sudah disempurnakan penyerahannya.

“Tahun ini, program sumbangan dua lagi sekolah diteruskan dan hari ini (semalam) SK Ladang Pendas menerima sebuah unit wakaf bagi dimanfaatkan 80 murid di sekolah ini.

“Selain sumbangan wakaf, Forest City turut menaja pelbagai aktiviti pendidikan anjuran BH dan New Straits Times (NST) termasuk penganjuran seminar bimbingan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Didik dan bengkel UPSR NST,” katanya.

Sementara itu, Syarul Izam berkata, penyerahan sumbangan wakaf itu adalah sebagai simbolik kerjasama BH dan Forest City bagi kepentingan masyarakat sekitar yang terbabit dalam kawasan pembangunan projek.

“Kami harap murid dan pelajar dari sekolah yang mendapat sumbangan wakaf ini dapat memanfaatkan kemudahan ini dan gunakan ia sebagai ruang sudut bacaan tambahan bagi mengulangkaji pelajaran di dalam kawasan sekolah.

“Program ini membabitkan semua sekolah angkat kami iaitu enam SK dan sebuah sekolah menengah dan kita berharap kerjasama ini tidak berakhir di sini dan akan berterusan dalam memastikan kesinambungan pembangunan komuniti kawasan ini,” katanya.

Guru Besar SK Ladang Pendas Johari Shuhadak berkata, pihaknya berbesar hati dan berterima kasih dengan sumbangan wakaf terbabit.

“Walaupun sekolah kami kecil dengan 80 pelajar, kami amat berbesar hati menerima kunjungan pihak BH dan Forest City tambahan lagi sumbangan wakaf yang diserahkan,” katanya.

“Pihak sekolah juga bercadang akan menganjurkan program bacaan bagi menghidupkan dan memanfaatkan sumbangan wakaf yang diberikan ini,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 8:57am
d