mutakhir

Tam suka kopi O, takut kucing [METROTV]

Oleh Noorazura Abdul Rahman

KEBIASAAN makanan lembu adalah rumput atau dedak, namun bagi seekor lembu betina bernama 'Tam' di Kampung Batu 14, Pokok Sena, ia gemar memakan biskut, roti canai dan minum kopi O.

Menurut pemilik lembu terbabit, Abdul Mutalib Chin, 55, lembunya akan ke halaman rumahnya setiap petang untuk menikmati hidangan berkenaan, sejak setahun lalu.

Katanya Tam yang berusia 30 bulan mula makan makanan itu lebih setahun lalu apabila dia masuk ke ruang tamu luar dan makan biskut yang terhidang di atas meja.

"Ketika itu saya sekeluarga tak perasan Tam sudah masuk ke dalam ruang tamu. Apabila saya tengok semua biskut habis dimakannya. Sejak itulah, setiap petang dia akan datang ke sini dan saya sendiri akan menyuap beberapa jenis biskut dan juga roti canai.

"Sebelah pagi, Tam akan makan rumput seperti biasa bersama ibunya di belakang rumah saya. Cuma petang, seleranya akan bertukar.

"Selepas selesai makan biskut atau roti canai, Tam akan minum kopi O panas ataupun teh di dalam mangkuk besar," kata bekas pesara tentera ini.

Abdul Mutalib atau lebih dikenali sebagai Pakcik Lid berkata, dia menyayangi Tam dan menjaga seperti anaknya sendiri.

Katanya, Tam juga mempunyai sifat seperti manusia dan suka bermain dengan kanak-kanak selain sentiasa prihatin dengan keadaan ibunya seperti cerita karikatur Ferdinand.

"Kalau saya panggil, dia akan segera datang, malah dia akan berteriak jika ibunya lapar dan terkena terik matahari. Jika saya lambat ke belakang rumah, dia akan datang memanggil saya.

"Sifat kasih sayang Tam sungguh luar biasa. Saya tidak sanggup untuk menambat Tam dan jauh sekali untuk menyembelih ia untuk kenduri atau jamuan.

“Walaupun Tam berkulit hitam dan kelihatan bengis tapi dia sebenarnya sangat manja dan kasih sayang antara kami sangat kuat," katanya.

Bagaimanapun Pakcik Lid berkata, lembu seberat 150 kilogram itu agak penakut dengan kucing yang dibelanya malah Tam akan lari jika ternampak kucing itu keluar rumah.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 9:38am
d