mutakhir

TPM ketuai delegasi ke ASEM

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ke-12 di Brussels, Belgium, bermula esok hingga Jumaat ini.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini, berkata, Dr Wan Azizah akan diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan pegawai kanan dari Kementerian Luar.

Bertemakan ‘Rakan Kongsi Global untuk Cabaran Global’, pemimpin ASEM akan membincangkan isu utama serantau dan antarabangsa mengenai kebimbangan bersama, serta membincangkan langkah yang boleh diambil untuk mengukuhkan perkongsian sedia ada antara Asia dan Eropah.

Timbalan Perdana Menteri dijadual menyampaikan kenyataan Malaysia pada Sidang Pleno Kedua bertema ‘Memperkuat Sistem Multilateral: Memajukan Kerjasama ASEM Mengenai Cabaran Global.’

Sidang Kemuncak ASEM ke-12 dijangka mengadaptasikan Kenyataan Pengerusi yang akan menggariskan komitmen dan aspirasi ASEM untuk kerjasama yang lebih erat di kalangan rakan anggota di bawah tiga tiang ASEM iaitu politik, ekonomi dan sosio-budaya.

Tambah kenyataan itu, Timbalan Perdana Menteri akan mengambil kesempatan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Keselamatan dan Hal Ehwal Dalam Negeri Belgium, Jan Jambon untuk membincangkan isu kepentingan dua hala dan pelbagai isu semasa.

Sementara itu, Saifuddin juga akan bertemu dengan rakan sejawatannya, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Belgium, Didier Reynders untuk membincangkan isu kepentingan bersama.

Katanya, Menteri Luar juga dijadual menyampaikan ucapan di forum yang dianjurkan oleh Institut Eropah untuk Pengajian Asia hari ini.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 10:21am
d