mutakhir

'Itu semua tidak betul, tidak betul...'

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan desas-desus kononnya Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan keluar UMNO, dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), tidak lama lagi.

Presiden UMNO itu berkata, khabar angin yang tersebar membabitkan Ahli Parlimen Semberong berkenaan yang turut akan membawa pemimpin di bahagiannya menyertai BERSATU juga sebagai tidak betul.

“Itu semua tidak betul. Tidak betul. Saya sudah berjumpa dengan beliau,” katanya ringkas kepada NSTP di Parlimen, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Ketua Pembangkang mengulas khabar angin yang hangat diperkatakan kononnya Hishammuddin akan keluar UMNO dan menyertai BERSATU dan seterusnya akan diserap dalam Kabinet kerajaan.

Ketika ini tersebar khabar angin kemungkinan akan berlaku rombakan Kabinet tidak lama lagi atau Disember ini susulan Perdana Menteri dikatakan kurang berpuas hati dengan prestasi Menteri Kabinetnya.

Pada September lalu, Hishammuddin mengadakan pertemuan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad selama hampir dua jam di Putrajaya.

Bagaimanapun, Hishammuddin menjelaskan pertemuannya dengan Dr Mahathir hanya ingin mendengar rancangan Perdana Menteri untuk masa depan bangsa dan negara.

Malah, bekas Menteri Pertahanan itu pernah menafikan akan keluar UMNO sebelum ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga tidak mengetahui ada lagi Ahli Parlimen UMNO akan keluar parti tidak lama lagi.

“Saya belum dengar lagi ada (Ahli Parlimen UMNO) yang nak keluar parti. Setakat yang saya tahu, tidak ada,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 2:44pm
d