mutakhir

Rampas rokok RM8 juta [METROTV]

Oleh Ibrahim Isa

POLIS Johor merampas rokok seludup bernilai RM8 juta dalam serbuan di kilang di Mersing, Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, serbuan dilakukan susulan penahanan 23 lelaki termasuk dalang sindiket penyeludupan rokok dan dua anggota polis di daerah sama, tiga hari sebelumnya.

Menurutnya, hasil siasatan, lelaki yang juga dalang sindiket berkenaan membawa polis ke kilang itu pada 6 petang, Sabtu lalu sebelum pemeriksaan di bangunan membawa kepada penemuan 1,606 kotak rokok dengan anggaran cukai Kastam bernilai RM8 juta.

"Ia menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk dalam kes pada 10 Oktober lalu berjumlah RM14 juta dan nilai rampasan kereta berjumlah RM3 juta.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda 20 kali ganda nilai rampasan dan penjara maksimum tiga tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, JohorBahru, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan pihaknya mengenal pasti empat lokasi rokok seludup dari negara jiran di sepanjang Mersing dan Kota Tinggi.

Katanya, berikutan itu Polis Johor akan bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Khas (PGK) dan Unit Risikan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Ketenteraman Awam (KDNKA).

"Kerjasama dilakukan bagi memantau kawasan penyeludupan rokok di sepanjang pantai timur Johor terutama di lokasi rokok diseludup berkenaan.

"Walaupun sukar kerana kawasan terlalu luas, kami yakin dengan kerjasama semua agensi terbabit dan orang ramai yang menyalurkan maklumat tepat dan pantas, kami boleh membanteras aktiviti itu.

"Pada masa sama, kami akan menggandakan usaha membanteras terutama dalam tempoh beberapa bulan ini berikutan harga rokok dijangka meningkat," katanya.

Menurutnya, selain pertukaran maklumat dengan pelbagai agensi kerajaan, Polis Johor turut berkerjasama dengan Polis Republik Indonesia (POLRI).

Katanya, apa yang penting adalah cara membanteras penyeludupan terutama menahan dalang sindiket terbabit.

"Selain tindakan mengikut Akta Kastam 1967, kami akan menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) ke atas dalang dan ketua sindiket yang ditahan baru-baru ini," katanya.

Katanya, sepanjang tahun ini, Polis Johor menahan 67 individu terbabit penyeludupan rokok dan arak di seluruh negeri ini dengan anggaran rampasan bernilai RM3 juta," katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 5:42pm
d