mutakhir

Tiga beranak mengaku salah 'belasah' jiran [METROTV]

Oleh Sarah Zulkifli

TIGA beranak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini atas pertuduhan mencederakan jiran mereka dengan menggunakan sebatang besi, topi keledar dan sebilah parang, bulan lalu.

Mereka iaitu Md Isa Ismail, 63, dan dua anaknya Ros Iman, 36, dan Rosliza, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Bagaimanapun, mahkamah tidak menjatuhkan hukuman berikutan mereka tidak mengakui kesemua fakta kes yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin.

Terdahulu, Rosliza ketika mendengar fakta kes itu menggelengkan kepalanya sambil berkata ‘no..no..no.. kenyataan yang diberitahu pengadu tidak benar’.

Mengikut pertuduhan, tiga beranak itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap S Viknes Kumar, 23, dengan menggunakan sebatang besi, topi keledar dan sebilah parang di hadapan Blok D, Prima Selayang, PS1, Jalan Rawang, Batu Caves jam 9. 30 malam pada 6 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Selain itu, Rosliza yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan cermin hadapan dan sisi kereta milik J Darshana, 23, yang juga teman wanita Viknes Kumar pada tempat, tarikh dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, wanita berkenaan didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang pejamin dan menetapkan Isnin depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 5:44pm
d