mutakhir

Dua Along didakwa cedera peminjam wang

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bintulu, hari ini atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang peminjam wang pada 12 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkod daripada tertuduh, Collin Sim Tze Wei, 24, dan Chung Lee Hing, 25, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Penolong Majistret Salina Sahrom.

Tertuduh yang bekerja dengan sebuah syarikat peminjam wang dituduh mendatangkan kecederaan kepada lelaki berusia 28 tahun yang meminjam wang dari syarikat berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di dalam premis berkenaan di Pasar Bintulu, jam 9.20 pagi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh membawa hukuman penjara satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Siti Mariyah Dahari, manakala tertuduh diwakili peguam Eric Lau.

Mahkamah menetapkan 24 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000 setiap seorang dengan dua penjamin warga tempatan.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 7:01pm
d