mutakhir

Apa motif kau?

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“SAYA tak tahu apa motif lelaki itu masuk ke masjid semalam sebelum merosakkan jam dinding serta mengoyak al-Quran sebelum mencampak ke dalam tandas,” kata Siak Masjid Al Ihsan, Kubang Larek di Pokok Sena, Kamal Shukri.

Kamal, 34, berkata, dia menyedari bunyi air mengalir kuat dari tandas lelaki di masjid, 6.45 petang semalam.

Katanya, apabila diperiksa didapati paip air dicabut, manakala beberapa helaian al-Quran berselerak atas lantai tandas termasuk dalam lubang tandas.

“Saya yang curiga kemudian memeriksa sekeliling masjid sebelum mendapati cermin dinding pecah. Saya syak mungkin ada orang memecah masuk ke sini tetapi tak tahu apa motifnya.

“Pelik dengan kejadian itu, saya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati kelihatan seorang lelaki berusia 30-an masuk ke dalam masjid dan membaling papan rehal kayu ke arah jam digital dinding hingga terjatuh dan pecah.

“Lelaki yang bersendirian itu dipercayai orang luar kerana dia tidak dikenali. Saya kemudian terus memaklumkan kejadian itu kepada jemaah masjid,” katanya yang ditemui NSTP, hari ini.

Kamal berkata, sebelum ini pernah berlaku kes selipar dan tabung masjid hilang tetapi ia hanya membabitkan jumlah yang kecil.

“Atas faktor itu, kami memasang lima CCTV di masjid ini untuk memudahkan mengesan pencuri dan sesiapa yang masuk ke sini untuk melakukan benda tidak baik.

“Saya sudah membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan lelaki terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 7:04pm
d