mutakhir

'Ikan mahal, macam mana nak jual laksa?'

Oleh Yuzfazrina Amira Yuzri

KENAIKAN harga ikan termenung (kembung) sejak dua minggu lalu, berikutan cuaca tidak menentu memberi kesan kepada peniaga kedai makan di sekitar Kedah.

Peniaga kedai makan, Norsham Mohamad Yusof, 47, berkata, perniagaan laksanya sedikit terjejas berikutan harga ikan kembung meningkat hingga RM14 sekilogram (kg), baru-baru ini.

“Faktor berkenaan juga menyebabkan saya terpaksa berhenti menjual laksa seketika walaupun mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan tetap.

“Sekarang saya hanya tumpu kepada mi dan pelbagai jenis masakan panas. Saya hanya akan kembali menjual laksa jika harga ikan sudah kembali normal, iaitu dalam harga RM5 ke RM8 sekilogram,” katanya kepada NSTP ketika ditemui di kedainya di Alor Setar, hari ini.

Peniaga kedai makan Laksa Ikan Sekoq, Fauzi Man, 46, berkata, dia membuat simpanan 60 kg ikan selayang dan kembung, namun ia cukup untuk tempoh tiga hari sahaja.

Katanya, stok ikan itu hanya digunakan untuk diletakkan di atas laksa, manakala stok untuk kuah laksa pula tidak mencukupi.

“Biasanya saya akan menggunakan 40 kg ikan sehari untuk dibuat kuah laksa dan bahagian atasnya yang dibeli membabitkan kos sebanyak RM300.

“Sejak kenaikan harga ikan, kami terpaksa membelinya melalui peraih dengan harga agak mahal, namun harga laksa yang dijual masih kekal iaitu RM5,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kenaikan harga ikan ini turut menjejaskan pengguna yang berpendapatan rendah memandangkan ada beberapa kedai makan menaikkan harga makanan sesuka hati.

“Saya berharap peniaga kedai makan boleh mengekalkan harga makanan supaya tidak membebankan pengguna dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini,” katanya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Abdul Hamid Bahari berkata, pihaknya menggesa peniaga makanan tidak panik kerana sebanyak 100 tan ikan sejuk beku disimpan untuk menampung kekurangan bekalan ikan nelayan.

“Ikan sejuk beku ini kemungkinan akan mula dijual dalam dua minggu lagi sebagai langkah untuk menstabilkan harga ikan.

“Kita turut menjangka harga akan meningkat dalam tempoh terdekat disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 8:24pm
d