mutakhir

Sampai nak pengsan...

Oleh Hamzah Osman

KESERONOKAN pasangan kekasih warga Jerman mandi laut di Pantai Tengah di Langkawi, hari ini, hampir bertukar tragedi apabila seorang daripadanya hampir pengsan disengat obor-obor.

Dalam kejadian 6.15 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Toby, 26, dilaporkan mandi bersama teman wanitanya sebelum disengat obor-obor di kedua-dua pergelangan kaki.

Pegawai Latihan dan Operasi/Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Langkawi, Leftenan (PA) Md Saifudin Saad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian itu pada 6.20 petang.

Beliau berkata, laporan awal kejadian diterima daripada seorang kakitangan hotel berhampiran tempat kejadian yang memaklumkan seorang pelancong terkena sengatan obor-obor.

“Sejurus itu, sepasukan lima anggota APM bersama bot laju Sealegs dikejarkan ke lokasi bagi memberi bantuan kecemasan kepada mangsa.

“Mangsa didapati mengalami tanda-tanda kekejangan seluruh anggota badan, muntah, terketar-ketar, pucat dan hampir pengsan," katanya ketika dihubungi NSTP.

Md Saifudin Saad berkata, selepas menerima rawatan kira-kira setengah jam, mangsa semakin pulih dan menolak untuk dihantar ke Hospital Langkawi.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 9:07pm
d