mutakhir

Penyamun buah dicekup

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

SUSPEK yang mencederakan pekebun dan menyamun buah-buahan di kebun mangsa di Lorong 6, Kampung Pak Dollah, Kamunting, Taiping pada 9 Oktober lalu, ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, suspek berusia 40an berjaya ditahan pihaknya di Lorong 3 kampung sama pada 1 petang tadi.

Katanya, dalam kejadian 9 Oktober lalu, suspek dikatakan mencederakan kepala pekebun berkenaan dengan menggunakan kayu selain menyamun buah-buahan di kebun itu.

"Mangsa yang cedera telah menerima rawatan di Hospital Taiping dan telah dibenarkan keluar dari wad baru-baru ini.

"Suspek akhirnya diberkas pihak polis hari ini ketika berada di Lorong 3, Kampung Pak Dollah, Kamunting," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah kerugian dialami mangsa dalam kejadian samun itu masih dalam siasatan.

Katanya, polis percaya suspek turut terbabit dalam beberapa kes jenayah lain di kawasan itu.

Disiarkan pada: October 17, 2018 @ 11:50pm
d