mutakhir

Sorok daun ketum celah batu

Oleh Hamzah Osman

PASUKAN Polis Marin (PPM) merampas 400 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM3,000 di kawasan Pantai Batu Putih, berdekatan Kuala Perlis, malam tadi.

Pegawai Pemerintah PPM Langkawi, Deputi Superintendan Rohizan Mohamad Saaid berkata, rampasan dilakukan di pada 9.30 malam dan daun ketum itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran

Beliau berkata, daun ketum itu ditemui disembunyikan penyeludup di celah batu sekitar kawasan pantai bertujuan bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Ketika rondaan dilakukan lima anggota, mereka terserempak bot dalam keadaan mencurigakan berdekatan pantai sebelum bot diarah berhenti bagi pemeriksaan.

"Bagaimanapun, sebaik menyedari kehadiran anggota PPM, bot terbabit bertindak memecut laju ke tengah laut menyebabkan mereka gagal dikesan," katanya ketika dihubungi di Langkawi, hari ini.

Rohizan berkata, siasatan lanjut di tempat kejadian menemui lapan plastik hitam mengandungi daun ketum yang diikat kemas disorok di celah batu besar.

"Semua daun ketum yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran itu dirampas sebelum diserahkan kepada Balai Polis Kuala Perlis untuk tindakan lanjut.

"Difahamkan daun ketum mendapat permintaan dan tinggi di Thailand menyebabkan berlaku kegiatan penyeludupannya," katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 12:19pm
d