mutakhir

Air mata dihukum penjara

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

BEKAS pekerja kedai runcit menangis teresak-esak di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur apabila dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan kerana merompak menggunakan pistol mainan di kedai serbaneka, bulan lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap Ridznan Shah Desa, 30, selepas tertuduh mengaku salah sebaik saja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 26 September lalu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Emelia Kaswati menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan itu.

“Lain kali kalau nak buat kesalahan, tengok muka isteri dan anak kamu. Kenapa merompak? Kamu nak bagi anak isteri makan duit itu? Adakah halal rezeki itu?” soal Emelia.

Tertuduh yang mendengar nasihat hakim menjawab “Tidak” sambil menangis. Isteri tertuduh yang sedang hamil dan anak pertama mereka yang berada di galeri awam mahkamah juga tidak dapat menahan tangisan.

Mengikut pertuduhan, Ridznan Shah bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa telah melakukan rompakan bersenjata ke atas juruwang, Muhammad Sameer Md Aminul Islam, 30, menggunakan sepucuk pistol mainan di KK Supermart, Bandar Manjalara, Kepong, pada 3.45 pagi, 26 September lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan hukuman ringan atas alasan dia adalah penanggung tunggal keluarga selain isterinya yang sedang hamil.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aisyah Ahmad bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukannya adalah serius.

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang sedang bekerja telah didatangi tertuduh yang memakai topeng muka sebelum lelaki itu bertindak mengacukan pistol ke arah mangsa serta mengarahkannya membuka mesin laci wang.

Mangsa telah memberi alasan tidak dapat membuka laci wang dan ingin memanggil rakan sekerjanya di bahagian belakang kedai dan meminta tertuduh untuk tunggu sebentar di kaunter.

Berlaku pergelutan antara mangsa dan rakan sekerjanya dengan tertuduh sebelum tertuduh berjaya ditangkap oleh orang awam yang melalui hadapan kedai itu.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 1:31pm
d