mutakhir

Haa ponteng lah sekolah lagi...

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PADAH ponteng sekolah, enam pelajar termasuk seorang pelajar perempuan terperangkap di dalam rumah kosong di Pangsapuri Lobak di Seremban, hari ini, sebelum mereka diselamatkan bomba.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Chew Seh Yong yang turut berada di tempat kejadian berkata, beliau menerima panggilan daripada penduduk memaklumkan kejadian itu, kira-kira 8 pagi.

Menurutnya, beliau segera ke lokasi dan mendapati dua guru sedang memujuk pelajar terbabit untuk keluar dari rumah di tingkat lima pangsapuri berkenaan.

“Bagaimanapun, pelajar itu bertindak melarikan diri dengan turun ke tingkat empat melalui balkoni.

“Malangnya usaha mereka untuk melarikan diri gagal apabila rumah berkenaan berkunci dari luar menyebabkan mereka terperangkap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Seh Yong berkata, beliau bersama guru dan penduduk berusaha menyelamatkan pelajar terbabit tetapi gagal, sebelum membuat keputusan menghubungi bomba untuk bantuan.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, K Putthisigamany berkata, seramai lapan anggota bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan 9.13 pagi.

Beliau berkata, bomba menggunakan tangga bagi membawa turun semua enam pelajar terbabit melalui balkoni.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 3:06pm
d