mutakhir

Ahmad Zahid berada di SPRM...

Oleh Irwan Shafrizan Ismail dan Nor Azizah Mokhtar

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya jam 3 petang hari ini untuk diambil keterangan sebelum beliau dijangka akan ditahan sebelum didakwa.

Presiden UMNO itu yang memakai kemeja batik bercorak hitam putih dan garisan berwarna-warni kelihatan ceria ketika berhadapan dengan lebih 50 petugas media yang menunggunya sejak jam 11 pagi.

Dalam pada itu, kira-kira 30 penyokong Ahmad Zahid dilihat berkumpul di perkarangan pintu pagar ke bangunan SPRM sejak jam 2 petang.

Kehadiran mereka bagi memberi sokongan kepada beliau yang sekali lagi diarahkan ke SPRM, hari ini untuk diperiksa keterangannya sebelum beliau dikatakan akan ditahan seterusnya didakwa di mahkamah, esok.

Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam dalam akaun Facebooknya mendedahkan Ahmad Zahid menerima notis supaya hadir ke SPRM hari ini.

Beliau dijangka akan ditahan semalaman di lokap SPRM sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Lokman turut meminta penyokong UMNO untuk hadir ke ibu pejabat SPRM, hari ini sebagai sokongan moral kepada Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Sebelum ini, SPRM sudah memanggil Ahmad Zahid sebanyak lima kali bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi membabitkan nilai mencecah RM800,000.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 3:37pm
d