mutakhir

Jambatan bengkok: DAP cuma beza pendapat

Oleh Fahmy Azril Rosli

DAP Johor menafikan pihaknya tidak sehaluan dengan cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu mengembalikan projek pembinaan jambatan bengkok menghubungkan negeri itu dengan Singapura.

Pengerusi DAP Johor, Liew Ching Tong berkata, berbeza pendapat tidak bermaksud wujudkan tanggapan bahawa kepimpinan DAP negeri itu tidak ‘seiring dan sejalan’ dengan Dr Mahathir.

“Tidak ada. Ini hanya cadangan sahaja yang masih belum dibuat keputusan.

“Ia juga adalah proses demokrasi dan adalah baik untuk kita bincangkan semua cadangan serta ambil keputusan selepas cadangan dibincangkan oleh semua,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Liew berkata, projek jambatan bengkok tidak jadi keutamaan sebaliknya Timbalan Menteri Pertahanan itu menyokong idea jambatan ketiga untuk menyambungkan Johor dengan Singapura bagi memastikan kelancaran lalu lintas di kedua-dua hala.

Malah katanya keperluan paling utama adalah dengan memperbaiki dan mempercepat pembinaan sistem transit rapid (RTS) bagi menghubungkan kedua-dua negara.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata tidak tahu mengenai cadangan menghidupkan kembali projek jambatan bengkok itu yang pernah dibatalkan pada era Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika menjadi Perdana Menteri.

Beliau menegaskan tidak dimaklumkan langsung tetapi untuk mengetahui dengan lebih lanjut keputusan mengembalikan projek berkenaan, individu yang perlu diajukan soalan itu adalah Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 3:37pm
d