mutakhir

'Kalau boleh, kementerian lainlah' selepas PRU-15

Oleh Faizatul Farhana Farush Khan; Ahmad Suhael Adnan dan Mohd Khairul Anam Md Khairudin

“LEPAS lima tahun, saya mungkin tak jadi Menteri Pendidikan lagi. Itu kita nantikan menteri yang seterusnya,” kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, hari ini.

Beliau yang ditanya sama ada mahu mengkaji dasar pendidikan negara setiap lima tahun, secara berseloroh berkata, mahu membuat reformasi di kementerian lain pula selepas berjaya membuat perubahan di Kementerian Pendidikan sekiranya Pakatan Harapan (PH) kekal sebagai kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kalau saya kekal sebagai Menteri Pendidikan, mungkin saya akan buat kenyataan pada waktu itu.

“Tapi, kalau boleh nak pindah kementerian lainlah. Kita dah laksanakan sesuatu, kita buat reformasi di tempat lain pula,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara 2018 di Parlimen, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Beberapa kenyataan Maszlee yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan sejak 21 Mei lalu, kerap mencetuskan kontroversi antaranya pelaksanaan pemakaian kasut hitam bagi semua murid bermula 2021 serta penetapan warna stoking pelajar.

Selain itu, pelantikannya sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Setiausaha Politiknya, Mohd Nizam Morad sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Utara Malaysia (UUM) pada bulan lalu, turut mencetuskan polemik kerana bertentangan dengan manifesto PH.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 4:37pm
d