mutakhir

Fokus jadikan Malaysia negara maju

Oleh Wartawan NSTP

KAJIAN Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), 2016-2020 bertemakan Keutamaan dan Penekanan Baharu menandakan satu detik penting dalam sejarah pembangunan negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bahagian pertama kajian separuh penggal itu adalah menilai prestasi dua tahun pertama RMKe-11, 2016-2017, yang dilaksanakan di bawah kerajaan terdahulu.

Katanya, bahagian kedua pula menggariskan keutamaan dan penekanan baharu untuk membina negara bagi memenuhi harapan rakyat dalam tempoh akhir RMK-11, 2018-2020 di bawah pimpinan kerajaan Pakatan Harapan.

“Bidang keutamaan dan strategi dalam Kajian Separuh Penggal berasaskan prinsip tadbir urus yang baik, institusi yang kukuh dan integriti yang lebih tinggi mencerminkan aspirasi kerajaan baharu.

“Usaha ini menegaskan matlamat untuk menjadi negara maju dan inklusif serta merangka hala tuju ke arah masa hadapan yang lebih baik,” katanya dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal RMKe-11.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan akan mengimbangi objektif pertumbuhan ekonomi dan inisiatif pengukuhan fiskal bagi memastikan pembangunan yang berterusan dan inklusif tanpa merencatkan prospek pertumbuhan.

Justeru katanya, projek pembangunan sosioekonomi berimpak tinggi akan diteruskan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Selain itu, jurang pembangunan yang masih wujud antara negeri akan dikurangkan dengan memberi penekanan yang lebih besar kepada negeri yang kurang membangun, terutamanya Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, bagi memastikan pertumbuhan wilayah yang lebih seimbang.

“Lebih banyak langkah juga akan dilaksana untuk meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat, khususnya isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

“Melangkah ke hadapan, kita perlu sentiasa peka terhadap risiko dalam menghadapi kemungkinan berlakunya kejutan dan ketidaktentuan ekonomi global seperti peningkatan kerentanan kewangan, perlindungan perdagangan dan ketegangan geopolitik,” katanya.

Beliau berkata, risiko dan cabaran itu menekankan kepentingan mempunyai dasar ekonomi yang anjal, pengurusan kewangan awam yang kukuh dan kedudukan fiskal yang mampan.

“Dasar ekonomi makro perlu disesuaikan supaya mampu bertindak balas terhadap kejutan serta dapat meningkatkan daya tahan ekonomi.

“Namun, beberapa pengorbanan sementara diperlukan dengan pencapaian pertumbuhan ekonomi yang lebih sederhana dalam jangka pendek demi memastikan asas yang lebih kukuh ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan inklusif dalam jangka panjang,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Kajian Separuh Penggal itu menggariskan enam tonggak bagi menyokong pertumbuhan yang inklusif dan pembangunan yang mampan.

“Tonggak pertama bertujuan mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam, diikuti tonggak kedua bagi memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat.

“Tonggak ketiga bertujuan untuk mewujudkan pembangunan wilayah yang seimbang, sementara tonggak keempat adalah untuk memperkasa modal insan.

“Tonggak kelima memberi tumpuan untuk meningkatkan kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau. Tonggak terakhir meletakkan asas untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi meliputi semua sektor ekonomi,” katanya.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 5:24pm
d