mutakhir

[UPDATE] Kepulangan terakhir sebuah keluarga... [METROTV)

Oleh Muhammad Mustakim Ramli; Nor Farhani Che Ad dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman

“MEREKA turun dari teksi tiga kilometer (km) dari rumah saudara terdekat, selepas itu mereka hilang sebelum ditemui lemas,” kata Norhan Abdullah, anak saudara kepada Normah Pin, 64, salah seorang daripada empat beranak yang lemas di Sungai Tambun Tulang, hari ini.

Selain Normah, suaminya Baharom Ahmad, 66, dan anak mereka Norzalina, 35, turut ditemui lemas antara jam 9 pagi dan 1 tengah hari di Sungai Arau, manakala seorang lagi anaknya, Mohd Zali, 37, masih belum ditemui.

Norhan berkata, empat beranak yang sebelum ini tinggal di Sungai Petani, Kedah kerap pulang ke Kampung Belat Batu, Arau untuk melawat saudara mara mereka.

“Cuma kali ini pelik sedikit sebab mereka turun dari teksi jauh sangat. Anak saya perasan mereka berempat berjalan dan sempat menegur mereka tetapi sekadar tegur dari atas motosikal.

“Itu kali terakhir mereka dilihat. Kami hanya tahu mereka meninggal dunia selepas dimaklumkan orang kampung,” katanya ketika ditemui di perkarangan bilik mayat Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd ketika dihubungi mengesahkan kejadian lemas yang berlaku ke atas keluarga berkenaan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9 pagi memaklumkan penemuan dua mayat wanita iaitu Norma yang hanyut di Sungai Tambun Tulang dan Norzalina di dalam Sungai Arau.

“Mayat Baharom kemudian ditemui jam 1 tengah hari di tali air Kampung Che Ok, beberapa kilometer dari tempat anak perempuannya ditemui.

“Manakala anak lelaki sulungnya masih belum ditemui dengan operasi mencari masih dilakukan pihak bomba,” katanya.

Katanta, semua mayat ditemui dalam keadaan baik dan tiada kesan kecederaan yang membawa kepada unsur jenayah.

“Setakat ini kita mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut, bagaimanapun siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti situasi sebenar yang menjadi punca kematian mereka sekeluarga.

“Semua mayat itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di rumah mangsa di Taman Seruling, Sungai Petani mendapati mereka sudah tidak menetap di kediaman itu selepas dikatakan berpindah sejak Oktober tahun lalu.

Salah seorang jiran dikenali sebagai Syukri, 43, berkata penduduk hanya mengenali Baharom yang dipanggil sebagai Pak Long kerana kerap ditemui di masjid.

“Kami memang tidak begitu rapat kerana mereka tidak suka bercampur dengan jiran. Hanya Pak Long sahaja kerap ke masjid, namun dia juga tidak banyak bercakap dengan jemaah lain.

“Pak Long memang orang lama di sini dan dia berasal dari Perlis. Tetapi Oktober tahun lalu, mereka berpindah ke tempat lain.

“Saya tidak tahu mereka berpindah ke mana, ada yang kata mereka berpindah ke Taman Puteri Jaya dan terbaru katanya mereka tinggal di Taman Ria Jaya,” katanya.

Berita berkaitan

Mayat dua beranak ditemui terapung

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 6:10pm
d