mutakhir

Menteri tiada hak larang merokok di Parlimen

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

MENTERI atau ahli lantikan kerajaan tidak mempunyai hak untuk menampal sebarang notis, termasuk larangan merokok di kawasan Parlimen.

Datuk Johari Abdul (PH PKR-Sungai Petani) yang bangkit selepas sesi soal jawab lisan mengemukakan pendirian itu menggunakan Peraturan Mesyuarat 18 berkata, kebenaran untuk menampal notis sebenarnya tertakluk kepada bidang kuasa Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

“Saya nak minta penjelasan bagaimana seorang Ahli Parlimen (MP) boleh didenda kerana merokok di kawasan Parlimen.

“Mengikut Seksyen 32 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, perkarangan Parlimen ialah kawasan Tuan Speaker, menteri tiada kuasa nak tandatangan notis larangan dan lekat di ‘rumah’ ini.

“Saya lihat, menteri pi melekat ikut suka dia, tak boleh, beliau kena bincang dengan Speaker dan baru Speaker akan maklum dengan kita.

“Biar Speaker sebagai ‘boss’ letakkan notis, bukan menteri. Saya tidak merokok, tapi ini demi berlaku adil kepada kita yang mempunyai keistimewaan di sini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Susulan kompleks Parlimen diwartakan sebagai kawasan larangan merokok, berkuat kuasa 15 Oktober lalu, lapan kompaun dikeluarkan sehingga kelmarin termasuk terhadap seorang Ahli Parlimen.

Berdasarkan peraturan itu, perokok terpaksa berjalan kira-kira 300 meter ke pintu masuk untuk keluar dari kompleks Parlimen jika mahu merokok.

Mereka yang melanggar peraturan berkenaan boleh dikenakan kompaun tidak lebih RM500 dan jika gagal dijelaskan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih dua bulan atau kedua-duanya.

Kesalahan itu tertakluk di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN UMNO-Kinabatangan) turut bangkit menunjukkan sokongan cadangan menggunakan Peraturan Mesyuarat 18 yang diusulkan Johari.

Dalam nada keras dan berdegar-degar Bung berkata, penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak mempunyai hak untuk berlegar dalam kawasan Dewan Rakyat untuk ‘mencari’ kesalahan wakil rakyat melainkan mendapat kebenaran Speaker.

“Ini tidak pernah berlaku dan kami beri kuasa penuh kepada dewan mulia ini menerusi Speaker bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

“Mereka kena hormati Datuk Speaker . Jangan suka-suka,” katanya dipercayai merujuk kepada operasi ‘memburu’ perokok yang dilaksanakan di Parlimen, sejak kelmarin.

Mohamad Ariff yang mendengar keluhan itu berkata, ‘petua’ atau pendiriannya berhubung isu berkenaan akan dikemukakan dalam tempoh terdekat selepas mengkaji aspek peraturan dewan dan perundangan berkaitan.

“Sementara itu, saya sudah usahakan untuk selesaikan masalah ini sebaik mungkin, jadi sabar sikit,” katanya disahut dentuman meja tanda sokongan dalam kalangan ahli dewan.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 6:35pm
d