mutakhir

Tak daya nak lihat rakaman CCTV - bapa [METROTV]

Oleh Safeek Affendy Razali

BAPA Wan Amirah Wan Alias, mangsa kejadian langgar lari selepas dirempuh dan diseret sebuah kereta di Shaftsbury Square, Cyberjaya, semalam, reda dengan apa yang berlaku ke atas anak ketiganya itu.

Wan Alias Wan Ismail, bagaimanapun menyerahkan kepada polis untuk mengesan dan menyiasat suspek yang bertindak melanggar anak perempuannya sehingga parah dan mangsa meninggal dunia.

“Saya menerima panggilan dari rakan anak saya memaklumkan Amirah dibawa ke Hospital Putrajaya, akibat dilanggar dan pada mulanya menyangkakan dia hanya terbabit dalam kemalangan kecil.

“Bagaimanapun, apabila saya tiba di hospital saya mendapat maklumat tentang kejadian sebenar yang menimpa anak saya,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, dia juga terkejut selepas mendapat tahu tentang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian yang tular sejak pagi.

“Sehingga kini saya tidak sanggup untuk melihat rakaman berkenaan, saya tiada upaya.

“Apapun saya terima ketentuan Ilahi tentang kejadian yang menimpa anak saya, semoga dia ditempatkan bersama orang-orang yang soleh,” katanya.

Wan Alias berkata, anaknya itu adalah seorang gadis yang aktif dalam aktiviti acara sukan lasak seperti menyelam selain turut serius dalam kerjayanya.

“Dia seorang yang lasak dan aktif, kami pernah ke Maldives bersama-sama kerana dia ingin menyelam di sana, dan tahun depan dia juga sudah mengatur pelan untuk ke Finland dan menyelam di sana,” katanya.

Jenazah Wan Amirah disembahyangkan di Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, ,sebelum dikebumikan jam 5.30 petang.

Sementara itu, rakaman CCTV memaparkan kemalangan menimpa Allayarham Wan Amirah tular di media sosial.

Menerusi rakaman berdurasi 11 saat itu, dapat dilihat Wan Amirah sedang berjalan kaki melintas jalan sambil tangan kanannya menjinjing satu beg plastik.

Kereta suspek yang dipandu secara melulu dari arah sebelah kiri kemudian merempuh sebuah kereta yang diparkir di tepi sebelah kanan.

Wan Amirah seperti sedar kejadian itu dan cuba berlari anak untuk mengelak namun tidak sempat apabila kenderaan berkenaan tidak perlahan sebaliknya terus membelok ke kiri merempuh Wan Amirah dan dua kenderaan lain yang diparkir di kiri jalan.

Kelihatan Wan Amirah tersangkut pada bahagian hadapan kereta suspek sebelum digilis kenderaan itu yang terus dipandu secara laju.

Berita berkaitan

[UPDATE] 'Tolong cari suspek langgar lari Wan Amirah'

Mangsa langgar lari meninggal dunia

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 8:40pm
d