mutakhir

Ahmad Zahid masih Ketua Pembangkang

Oleh Fahmy Azril Rosli

STATUS Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Ketua Pembangkang masih kekal sekiranya pertuduhan terhadap Presiden UMNO itu boleh diikat jamin.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, lagipun masih terlalu awal untuk menilai kedudukan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, ini kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu masih dalam proses pendakwaan.

“Masih terlalu awal kerana beliau belum lagi dituduh. Apabila beliau dituduh dan pertuduhan itu dijangka bersifat ‘bailable offence’ (kesalahan yang boleh diikat jamin).

“Mengambil kira situasi berkenaan, jadi kedudukan beliau tidak terjejas dari sudut undang-undang,”

“Lagipun ia cuma notis biasa berkaitan dengan penyiasatan sama ada tahan atau tidak itu masih lagi spekulasilah,” katanya kepada media ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, media melaporkan Ahmad Zahid dijangka akan didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), esok.

Perkara itu didedahkan oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam.

Ahmad Zahid sebelum ini diambil keterangan selama tiga hari berturut-turut oleh SPRM minggu lalu berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi.

Beliau dipanggil untuk memberi keterangan berkaitan siasatan penyelewengan dana Yayasan Akal Budi yang dikaitkan dengan beliau untuk digunakan menjelaskan hutang kad kredit milik beliau dan isterinya membabitkan nilai mencecah RM800,000.

Ahmad Zahid adalah pengerusi yayasan itu yang ditubuhkan pada 1977 dengan misi menghapuskan kemiskinan.

Beliau menafikan sebarang salah laku dan memaklumkan pegawainya tersilap menggunakan wang yayasan itu bagi membayar bil kad kreditnya.

Disiarkan pada: October 18, 2018 @ 9:13pm
d