mutakhir

Perkhidmatan KTMB dah pulih

Oleh Jalal Ali Mohd Abdul Rahim

OPERASI perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) Berhad yang terjejas berikutan pelanggaran dua kereta api di Stesen Tanjung Malim, semalam kembali beroperasi seperti biasa pagi ini.

Unit Komunikasi Korporat KTM Berhad dalam satu kenyataan berkata, operasi pulih selepas kerja-kerja baik pulih selesai.

"Merujuk kepada insiden pelanggaran antara tren KTM Kargo Nombor 152 dengan tren KTM Komuter Nombor 2113 di Platform 2, Stesen Tanjung Malim pada 18 Oktober 2018 (semalam), KTM Berhad ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja pengalihan gerabak dan baik pulih landasan telah berjaya diselesaikan pada 6.27 pagi ini.

"Semua perkhidmatan tren KTM Berhad kini kembali beroperasi seperti biasa," kata kenyataan itu, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pihak KTM Berhad sekali lagi memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi penumpang.

Katanya, sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200.

Semalam, syarikat berkenaan dalam kenyataannya mengesahkan lima daripada 20 penumpang tren KTM Komuter cedera dalam kemalangan itu.

Menurut kenyataan itu, tren KTM Kargo dengan muatan 30 gerabak memulakan perjalanan dari Stesen Jalan Kastam jam 2.15 pagi dan sepatutnya tiba di Terminal Kargo Ipoh (ICT) jam 7.50 pagi.

Tren berkenaan kemudiannya dipercayai berlanggar dengan tren KTM Komuter yang ingin memulakan perjalanan dari Stesen Tanjung Malim ke Stesen Pelabuhan Klang jam 6.05 pagi.

Kemalangan itu turut mengakibatkan kelewatan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sektor utara dan KTM Komuter Tanjung Malim-Kepong.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Rani Hisham Samsudin ketika ditemui NSTP semalam memaklumkan pihak KTM Berhad menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kemalangan dengan fokus sama ada ia berpunca masalah teknikal atau kesilapan kakitangan sendiri.

Berita berkaitan:

Dua fokus siasatan KTMB

5 cedera kemalangan kereta api

Kereta api kargo, KTM Komuter kemalangan

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 11:00am
d