mutakhir

AKSEM rampas arak RM254,213.40

Oleh Muhammad Mustakim Ramli

AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis berjaya merampas minuman keras bernilai RM254,213.40 yang cuba dibawa masuk tanpa membayar cukai di gudang di Sungai Dua, Pulau Pinang, semalam.

Komander AKSEM Perlis, Syed Basri Syed Ali berkata, dalam serbuan kira-kira 3 petang itu pihaknya turut menahan seorang suspek lelaki berusia 58 tahun yang juga penjaga gudang berkenaan.

“Hasil risikan awam, anggota AKSEM bertindak melakukan serbuan ke atas gudang yang menjadi lokasi penyimpanan arak yang disyaki tidak membayar cukai kastam.

“Pemeriksaan kemudian menemui sejumlah 574 karton minuman keras pelbagai jenama yang belum dibayar cukai, disimpan di gudang berkenaan,” katanya pada sidang media di Pejabat AKSEM Kuala Perlis, Kangar, hari ini.

Syed Basri berkata, siasatan lanjut mendapati sindiket terbabit turut cuba mengaburi pihak berkuasa dengan menampal label cukai kastam palsu.

“Semakan yang dilakukan mendapati semua label kastam berkenaan adalah palsu dan suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda 10 kali ganda nilai cukai atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Kes berkenaan diserahkan kepada pihak kastam untuk tindakan selanjutnya.

Disiarkan pada: October 19, 2018 @ 12:22pm
d