mutakhir

Lembaran baru

Oleh Safeek Affendy Razali

SUNGAI BULOH: Cuba bantu bekas banduan memulakan hidup baru. Itu usaha Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang mengambil tiga bekas banduan untuk bekerja di pejabatnya dalam usaha memberikan mereka peluang kerjaya.

Tindakan ini juga adalah sebagai memberikan contoh kepada syarikat swasta dan badan bukan Kerajaan (NGO) untuk memberikan peluang kepada mana-mana bekas penghuni penjara meneruskan kehidupan mereka kelak sebaik dibebaskan.

Syed Saddiq berkata, kerajaan seharusnya menjadi contoh kepada semua pihak terutama masyarakat dan syarikat swasta untuk memberi peluang kedua kepada bekas penghuni penjara.

“Mereka ini memiliki pelbagai kemahiran dan kepakaran termasuk memiliki pelbagai sijil yang diiktiraf kerajaan semasa dalam penjara. Justeru sewajarnya mereka ini diberikan peluang untuk berada bersama-sama masyarakat di luar sana.

“Selain itu, ahli keluarga, sahabat handai dan masyarakat juga disarankan untuk ‘membuka pintu’ menerima mereka kembali tanpa memikirkan perkara negatif terhadap bekas banduan,” katanya semasa melancarkan Kempen Reben Kuning dan sesi dialog bersama banduan di Penjara Sungai Buloh, petang semalam.

Beliau berkata ketiga-tiga banduan itu adalah golongan usia muda bawah 35 tahun yang akan ditempatkan di pejabatnya dalam masa terdekat sebaik mereka selesai menjalani hukuman penjara.

“Saya akan mendidik dan mengajar mereka mengenai tugasan yang akan dilakukan dan mereka mungkin dapat membantu saya dalam kerja-kerja saya.

“Sekiranya kerajaan tiada peruntukan untuk membayar gaji mereka, saya sendiri akan membayar mereka menggunakan wang saya,” katanya.

Selain tiga banduan terbabit, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengadakan rundingan bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Jabatan Penjara Malaysia, berhubung pengambilan beberapa banduan untuk bekerja di dalam beberapa bidang di bawah KBS dan agensi kerajaan lain.

“Perkara ini bukanlah suatu isu yang besar membabitkan piawaian tertentu namun bergantung kepada penerimaan pihak yang terbabit,” katanya.

Dalam program sama, Syed Saddiq turut mendengar keluhan dari lima banduan berusia bawah 40 tahun tentang penerimaan masyarakat terhadap mereka apabila dibebaskan kelak.

Ini kerana, sebahagian besar mereka adalah banduan yang pernah dibebaskan dan kembali semula melakukan kegiatan jenayah selepas keluarga dan masyarakat tidak memberikan peluang kepada mereka.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 10:06am
d