mutakhir

Polis tunggu laporan kimia tiga beranak lemas

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS masih menunggu laporan kimia hasil bedah siasat ke atas mayat tiga beranak yang ditemui lemas di Sungai Arau, kelmarin.

Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd berkata, laporan itu dijangka mengambil masa antara tiga ke lima hari lagi.

“Hasil bedah siasat ke atas tiga beranak itu juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah seperti kecederaan fizikal atau lebam.

“Bagaimanapun, kita masih menunggu laporan analisis toksikologi dari Jabatan Kimia Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Mushar berkata, sehingga kini tiada tangkapan terbaru yang akan dilakukan pihaknya berhubung kes ini.

“Motif kematian tiga beranak ini lebih menjurus kepada bunuh diri, namun sekiranya terdapat unsur jenayah, kita akan maklumkan kemudian,” katanya.

NSTP sebelum ini melaporkan tiga beranak yang lemas di Sungai Arau, dipercayai meminum racun sebelum terjun ke sungai berkenaan akibat tekanan hutang.

Perkara itu berdasarkan keterangan awal anak lelaki mangsa kepada polis selepas dia ditahan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, malam tadi.

Berdasarkan keterangan lelaki terbabit, mereka sekeluarga menaiki kereta api dari Sungai Petani ke Arau pada pagi Selasa lalu, sebelum bertindak meminum racun dan terjun ke Sungai Arau.

Bagaimanapun lelaki berkenaan berubah fikiran selepas melihat ibu, bapa dan adiknya terjun ke sungai sejurus meminum racun.

Berita berkaitan

'Mustahil mereka bunuh diri...'

[UPDATE] Tiga beranak minum racun sebelum terjun

[UPDATE] Kepulangan terakhir sebuah keluarga... [METROTV)

[UPDATE] Ingatkan lemas, rupanya....

Mayat dua beranak ditemui terapung

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 11:22am
d