mutakhir

Rakan sekampung maut bersama [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

DUA pekerja lelaki warga Indonesia yang ditemui maut dan satu masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Paya Terubong di Georgetown, adalah rakan sekampung di Buton Tengah, Sulawesi.

Samsul, 19, Bahtiar, 36, yang maut dan Subairi adalah rakan sekampung manakala Baktiar dan Subairi adalah saudara dekat.

Selain itu, isteri kepada Bahtiar, Wa Iri, 36, juga berasal dari kampung yang sama di Sulawesi.

Lebih menyedihkan, Wa Iri sedang mengandung anak kedua ketika kejadian dan tercedera sebelum menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Selepas dimaklumkan jenazah suaminya itu berjaya dikeluarkan tengah hari ini, Wa Iri meraung sambil ditenangkan ahli keluarga mereka yang kebanyakannya sudah menunggu di ruang tempat letak kereta di HPP.

Wa Iri tidak dapat menahan kesedihan selepas mengetahui suaminya itu meninggal dunia kerana berharap Bahtiar.

Difahamkan, anak pertama pasangan itu berada di kampung mereka di Buton Tengah dan dibesarkan keluarga mereka yang lain di sana.

Kesemua mereka datang ke negeri ini selepas bapa kepada Samsul, Asman Hamid, 62, yang sudah memperoleh taraf penduduk tetap Malaysia, mempelawa saudara dan rakan sekampungnya untuk bekerja di sini.

Berdasarkan maklumat polis, dalam kejadian semalam, sembilan mangsa terbabit dalam kejadian tanah runtuh di kawasan projek Jalan Berkembar Bukit Kukus dengan tiga termasuk dua wanita cedera.

Manakala empat daripada mereka yang tertimbus termasuk seorang wanita Myanmar sudah dikeluarkan, manakala baki dua lagi masih dicari.

Kejadian yang dipercayai berpunca daripada hujan lebat itu menimbus sembilan kontena bertingkat yang dijadikan rumah kongsi kepada 10 pekerja warga asing yang bekerja di kawasan itu.

Sehingga 2 petang tadi, empat mayat sudah berjaya dikeluarkan dan dihantar ke HPP.

Identiti mereka ialah Samsul, 19, (Indonesia); Attrul, 35, (Bangladesh); wanita Khin Aye Khiang, 33, (Myanmar) dan Bahtiar, 36, (Indonesia).

Mereka yang cedera dan sedang menerima rawatan ialah, Shamim, 24, (Bangladesh); dan dua wanita warga Indonesia Wa Iri, 36, dan Norazizah, 24, yang cedera di kaki.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 3:01pm
d