mutakhir

Dua lelaki lemas ketika jala ikan

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

DUA lelaki ditemui lemas di parit dalam ladang kelapa sawit selepas menjala ikan di Kampung Pertanian, Pekan Tajau, Maran, hari ini.

Mangsa Abdullah Abdul Ghani, 19, dan Ali Awang, 36, ditemui jam 12.45 tengah hari oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Maran selepas dikatakan keluar menjala ikan sejak semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.50 pagi mengenai kes dua lelaki hilang.

Katanya, pihaknya kemudian menggerakkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke lokasi kejadian.

“Pihak bomba turut menggunakan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan dua bot bagi mengesan mangsa sebelum menemui mereka, beberapa jam kemudian,” katanya.

Katanya, punca sebenar kejadian masih disiasat dan mayat diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Jengka bagi bedah siasat.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 3:09pm
d