mutakhir

'Mahu bincang kenaikan yuran pengajian UM'

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

ISU kenaikan yuran pengajian di Universiti Malaya (UM) yang didakwa penuntut universiti awam itu dibuat tanpa sebarang notis mendapat perhatian Kementerian Pendidikan.

Menterinya Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya sedia maklum berhubung perkara itu dan akan berbincang bagi menyelesaikannya.

“Saya maklum perkara itu dan sedang berhubung dengan UM (bagi mendapatkan maklumat lanjut).

“Cuma perkara berkaitan dengan universiti awam ini, mereka mempunyai autonomi berkaitan yuran, tapi saya akan berhubung dengan pihak UM untuk berbincang (kenaikan yuran),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Keselamatan Kanak-Kanak Sahabat B.I.J.A.K: Selamat dan Lindung sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia 2018 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarkat Mohd Fazari Mohd Salleh dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Khamis lalu, sekumpulan pelajar UM mendakwa kenaikan yuran pengajian itu dilakukan tanpa sebarang notis pemberitahuan awal atau surat pekeliling kepada mahasiswa dan mahasiswi.

Kumpulan dikenali sebagai Suara Siswa dan mewakili penuntut dari pelbagai fakulti itu mendakwa kenaikan yuran sebanyak RM50 untuk pelajar tempatan dan RM3,000 untuk pelajar luar negara.

Mereka mengesyaki berlaku perlanggaran kontrak kerana difahamkan universiti awam berdepan pemotongan bajet selain mendakwa pentadbiran UM gagal membalas memorandum ditandatangani oleh 6,000 penuntut.

Sementara itu, ditanya mengenai rungutan ibu bapa yang mengkritik buku teks diluluskan Kementerian Pendidikan untuk subjek Teknologi Maklumat dan Komunikasi bagi murid tahun empat yang didakwa mempunyai bahasa asing untuk seperti perkataan ‘kayu ria’ ‘cakera liut’ dan ‘fon kepala’, Maszlee berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada DBP.

“Itu kena tanya DBP kerana itu kerja mereka. Saya rasa mereka mungkin mempunyai standard bahasa, jadi elok juga tanya mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 6:38pm
d