mutakhir

[UPDATE] 3 lagi mangsa dipercayai tertimbus

Oleh Audrey Dermawan; Shamsul Munir Safini dan Muhammad Yusri Muzamir

TIGA lelaki warga Bangladesh dipercayai tertimbus dalam runtuhan tanah di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar,

Katanya, dua laporan baharu berhubung pekerja binaan terbabit masing-masing diterima pada jam 1 dan 5 petang tadi.

“Mangsa yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri tertimbus itu dikenali sebagai Mohamad Abd Jalil, Ujal dan Rahat dengan semua mereka dilapor gagal dihubungi sejak kejadian runtuhan tanah berlaku.

“Pencarian esok akan tertumpu kepada lima mangsa yang masih hilang dengan operasi akan dijalankan di Sektor 3. Operasi di Sektor 1 dan 2 terpaksa dihentikan seketika selepas mendapati struktur tanah di situ tak selamat,” katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Sehingga kini, seramai empat mangsa ditemui maut, manakala tiga lagi pekerja binaan di tapak terbabit dilaporkan cedera selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh, kira-kira jam 1.56 petang, kelmarin.

Projek bernilai RM545 juta itu muncul sebagai laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul itu dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal.

Saadon berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terpaksa ditangguhkan kerana pemeriksaan awal mendapati terdapat pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh dan kekurangan pencahayaan.

“Kita juga akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Mineral dan Geologi berhubung struktur tanah di kawasan runtuhan ini, sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ia akan diteruskan sekiranya tiada bahaya atau pergerakan tanah dengan operasi SAR pada hari ini ditangguhkan pada jam 7 tadi dan akan bersambung 8 pagi esok,” katanya.

Dalam pada itu, Saadon berkata, sebanyak tujuh daripada 10 kontena yang menggelongsor ketika kejadian terbabit sudah pun diangkat selepas mendapat maklumat ada mangsa dipercayai tertimbus di bawanya.

“Tiga lagi kontena yang masih berada di lokasi kejadian dijangka dialih esok. Kita juga akan mengalihkan semua sisa runtuhan lain sehingga menemui semua mangsa yang dikhuatiri tertimbus,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dua mayat pekerja binaan berjaya ditemui dalam operasi hari ini, membabitkan wanita warga Myanmar, Khin Aye Khaing, 36, dan lelaki warga Indonesia, Bahtiar.

“Dua mangsa yang maut itu ditemui dengan kesan kecederaan akibat ditidih tanah, masing-masing pada jam 1.30 dan 11.55 pagi tadi, kira-kira 30 meter dari lokasi penemuan mayat pertama dan kedua, semalam.

“Penemuan mayat wanita ini disahkan suaminya yang berada di lokasi kejadian, manakala mayat keempat ditemui pada jam 11.30 pagi dan berjaya dikeluarkan 20 minit kemudian,” katanya.

Disiarkan pada: October 20, 2018 @ 9:39pm
d