mutakhir

Produk pribumi online

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Pekan: Portal jualan dalam talian dilancar bagi memastikan masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam dunia perniagaan e-dagang selain menjadi platform baharu untuk memasarkan produk perniagaan komuniti itu.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith berkata, portal dinamakan Pribumi Mall itu dibangunkan syarikat telekomunikasi Celcom Axiata Berhad sebagai platform baharu untuk komuniti suku Jakun di Tasik Chini yang aktif dalam perniagaan.

“Ia adalah yang pertama untuk komuniti Orang Asli di Malaysia apabila mereka boleh memasarkan produk keluaran seperti barangan kraf, akar kayu dan rotan secara terus dalam talian.

“Portal ini bagus kerana ia membuka peluang kepada masyarakat Orang Asli menceburi bidang perniagaan selain menguasai dunia teknologi maklumat,” katanya selepas hadir melancarkan Sri Gumum Cyber Cube dan penanaman semula pokok di Tasik Chini di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Korporat Celcom Axiata Berhad, Zuraida Jamaluddin dan Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Mengulas mengenai kerjasama gergasi telekomunikasi negara dan UKM dalam mewujudkan Sri Gumum Cyber Cube di kawasan Tasik Chini itu, Eddin berkata, ia adalah kerjasama baik untuk memastikan masyarakat Orang Asli menguasai dunia teknologi maklumat melalui penubuhan pusat Internet berkenaan.

“Program ini inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Celcom Axiata untuk memperkasakan komuniti Orang Asli di sini (Tasik Chini) dengan dunia teknologi maklumat serta ekonomi digital.

“Saya harap masyarakat Orang Asli dapat merebut peluang yang disediakan kerana mereka akan dibantu dari pelbagai sudut bagi memastikan mereka tidak ketinggalan,” katanya.

Sementara itu, Zuraida berkata, 20 masyarakat Orang Asli dilatih untuk menguasai teknik dan selok-belok perniagaan dalam portal berkenaan.

“Buat masa ini kami latih 20 Orang Asli dan merancang untuk latih lebih ramai lagi,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan Pribumi Mall yang dibangunkan bersama laman sesawang 11Street, hasil kejayaan Desa Mall yang dibangunkan syarikat itu pada tahun lalu.

Katanya, projek CSR itu sentiasa dipantau pihaknya bagi memastikan ia memberi kejayaan dan membawa pulangan lumayan kepada masyatakat luar bandar dan Orang Asli di negara ini.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 3:40am
d