mutakhir

Lambaian kasih

Oleh BERNAMA

Alor Setar: Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff hari ini berkenan ‘bertemu’ rakyat jelata di negeri ini dengan menaiki Bahtera Layang Emas bersempena Istiadat Pertabalan Sultan Kedah ke-29 pada Isnin depan.

Istiadat Perarakan dan Perbarisan Kehormatan yang bermula pukul 8.30 pagi itu diserikan dengan Lambaian Kasih 10,000 pelajar sekolah di sekitar daerah Kota Setar yang terdiri daripada pelbagai kaum yang berbaris di sepanjang bahu jalan meliputi laluan perarakan sepanjang 3.2 kilometer yang melibatkan enam check point utama.

Rakyat jelata yang mula menunggu di sepanjang jalan seawal jam 7 pagi di laluan yang bermula dari Dataran Wisma Darul Aman hingga ke Dataran Medan Bandar itu enggan melepaskan peluang mengabadikan kenangan dan menyaksikan istiadat bersejarah yang kali terakhir diadakan enam dekad lalu iaitu pada 20 Februari 1959.

Ketika dibawa berarak menaiki bahtera sepanjang 25 meter dengan ketinggian lima meter itu, baginda berdua tidak putus-putus melemparkan senyuman dan melambaikan tangan kepada ribuan rakyat jelata yang ingin melihat wajah baginda berdua secara lebih dekat.

Bermula di Dataran Wisma Darul Aman dengan iringan pancaragam Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), 10 ekor kuda dari Unit Berkuda PDRM dengan penunggangnya lengkap berpakaian istiadat nombor satu, menerajui Bahtera Diraja yang dinaiki baginda berdua sebagai simbolik perisai betapa pentingnya mempertahankan Kesultanan Kedah yang tertua di dunia sejak 1136 sehingga hari ini.

Rusuk kiri dan kanan bahtera itu diiringi 20 Pegawai Tadbir Negeri bermula dari Wisma Darul Aman hingga ke Dataran Medan Bandar berhampiran Masjid Zahir.

Turut sama berarak mengiringi bahtera itu ialah seramai 40 penghulu yang lengkap berpakaian istiadat sebagai seorang penghulu.

Tiga ekor gajah yang diberi nama Pian, Alam dan Rambai yang dibawa khas dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang merupakan komponen perarakan yang turut menjadi perhatian rakyat jelata pada acara itu.

Gajah berkenaan merupakan simbolik kekuatan pemerintahan Diraja dan zaman kegemilangan raja Melayu suatu masa dulu.

Di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman sembilan ekor kuda daripada Pasukan Berkuda Island Horses yang dibawa oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) pula menyertai perarakan itu yang mana penunggangnya lengkap berpakaian Pahlawan Melayu bagi melambangkan ciri hulubalang yang taat setia serta kasih yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan.

Berangkat sama ke istiadat perbarisan kehormatan itu ialah Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Arif.

Hadir sama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan isteri Tok Puan Norzieta Zakaria.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 8:45am
d