mutakhir

Mungkin ada runtuhan susulan [METROTV]

Oleh Muhammad Yusri Muzamir

JABATAN Mineral dan Geosains (JMG) tidak menolak kemungkinan berlaku runtuhan susulan di tapak projek Lebuhraya Bertingkat Bukit Kukus, Georgetown, ekoran terdapat aliran anak sungai di kawasan terbabit.

Pengarah JMG Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Azhari Ahmad berkata, lokasi anak sungai yang berada sangat hampir dengan kawasan runtuhan mengakibatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) agak sukar dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, aliran anak sungai itu sudah berjaya dialihkan ke bahagian lereng cerun bagi memastikan tiada limpahan air masuk ke kawasan runtuhan atau permukaan cerun.

"Semalam kita kenal pasti ada pergerakan susulan di lokasi kejadian dan pemantauan dibuat dari semasa ke semasa. Ia disukarkan lagi apabila sungai itu terletak betul-betul di atas runtuhan terbabit.

"Malah, kawasan runtuhan ini cekung dan mudah menakung air selain struktur tanahnya yang peroi dan beberapa plot di situ dikenal pasti sebagai kawasan tambakan," katanya pada sidang media di Georgetown, hari ini.

Sehingga kini, empat mangsa ditemui maut, manakala tiga lagi pekerja binaan di tapak terbabit dilaporkan cedera selepas terbabit dalam kejadian tanah runtuh, 1.56 petang, kelmarin.

Projek bernilai RM545 juta itu muncul sebagai laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul itu dijangka siap pada Mac 2020, selepas mengalami kelewatan setahun dari jangkaan asal.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Saadon Moktar berkata, operasi SAR tertumpu kepada beberapa plot dikenal pasti Unit Anjing Pengesan (K9), selain prosesnya tertumpu di Sektor 3.

"Kita juga mendapat bantuan daripada Unit Logistik, selain bilangan jentera ditambah bagi memudahkan perjalanan operasi SAR. Kita juga akan mengalihkan baki kontena yang masih berada di kawasan runtuhan.

"Bagaimanapun, kita tidak menolak untuk menjalankan operasi mencari di Sektor 1 dan 2 sekiranya mendapat kebenaran daripada pihak JMG," katanya.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 11:01am
d