mutakhir

Sheikh Universiti Al-Azhar kagum demokrasi Malaysia

Oleh Siti A'isyah Sukaimi

SHEIKH Universiti Al-Azhar Prof Dr Ahmed Muhammad El Tayyib melahirkan rasa kagum dengan proses perpindahan kerajaan Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang berlaku tanpa suasana huru-hara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu disampaikan semasa pertemuan bersama Ahmed di Universiti Al-Azhar, Kaherah kelmarin semasa lawatan kerja ke Mesir.

"Saya memaklumkan beliau bagaimana perpindahan demokrasi kerajaan dahulu dan sekarang tanpa suasana huru-hara.

"Beliau (Ahmed) kagum kerana proses berkenaan di negaranya dan negara Arab lain sukar berlaku dengan aman," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik tiba dari Mesir, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Mujahid berkata, Imam Besar Universiti Al-Azhar itu juga menyifatkan Malaysia sebuah negara Islam yang progresif dan dihormati malah, beliau turut teruja untuk datang ke negara ini.

"Dalam pertemuan ini, saya bawa surat daripada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjemput beliau secara khusus ke Malaysia.

"Pertemuan ini pada pagi kelmarin sangat bermakna malah, beliau menggambarkan kegembiraannya dan rasa cukup teruja dengan jemputan daripada Perdana Menteri.

"Beliau jamin untuk datang ke Malaysia dan masa akan dimaklumkan awal memandangkan kita perlu melakukan persediaan rapi," katanya.

Pada masa sama, Mujahid berkata, beliau menjanjikan sambutan hangat kedatangan Ahmed ke negara ini lebih-lebih lagi graduan Malaysia dari Universiti Al-Azhar adalah yang tertinggi dari kalangan negara ASEAN.

"Jadi saya merasakan amat sesuai kedatangan beliau ke negara ini dan itu juga hasrat graduan termasuk saya yang sebelum ini melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

"Pada masa ini, kira-kira 11,000 penuntut Malaysia melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dan beliau turut memaklumkan, seramai 80 peratus penuntut di situ adalah dari luar negara," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, turut berlangsung pertemuan bersama penuntut Malaysia di Universiti Al-Azhar dan pelbagai masalah, pertanyaan dan penjelasan turut dibincangkan.

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 12:16pm
d