mutakhir

Kunjungan Siti Hasmah beri semangat

Oleh Hamzah Osman

KUNJUNGAN Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali ke Klinik Kesihatan Kuah, Langkawi, hari ini mengejutkan orang ramai yang tidak menjangkakan kehadiran beliau.

Isteri Perdana Menteri itu tiba di pusat rawatan itu kira-kira 10 pagi dan disambut Pegawai Kesihatan Daerah II Langkawi, Dr Muhammad Izzat Md Kamal bersama pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan sokongan klinik itu.

Dr Siti Hasmah kemudian meninjau kemudahan bilik rawatan, kaunter pendaftaran dan farmasi, selain beramah mesra bersama orang ramai yang berkunjung ke klinik itu.

Dr Muhammad Izzat berkata, kunjungan lebih sejam Dr Siti Hasmah ke klinik itu nyata menceria dan memberi semangat kepada 105 kakitangan serta orang ramai.

"Kami sangat berbesar hati dengan kunjungan kali pertama Dr Siti Hasmah ke klinik ini, sekali gus mencatatkan sejarah tersendiri.

"Saya sendiri rasa teruja selepas bertemu Dr Siti Hasmah secara dekat kerana sebelum ini hanya melihat dalam kaca televisyen dan gambar sahaja," katanya.

Kehadiran Dr Siti Hasmah itu ternyata menarik perhatian orang ramai dan ada yang mengambil kesempatan bersalaman serta bergambar bersama beliau

Disiarkan pada: October 21, 2018 @ 1:41pm
d